Banyakkan ‘program outreach’ dalam bahasa Tamil – Yeo Bee Yin

Timbalan Ketua Wanita DAP merangkap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, menggesa kerajaan untuk memperluaskan usaha mendekati masyarakat India dalam menyampaikan maklumat mengenai program kebajikan dan pembangunan insan.
Menurutnya, ramai dalam komuniti tersebut tidak menyedari bantuan yang mereka layak mohon, menyebabkan mereka terlepas peluang menikmati inisiatif kerajaan.
“Kita perlu reach out kepada lebih ramai lagi golongan India berkenaan dengan program-program kerajaan. Berdasarkan pemerhatian saya, ramai masyarakat India tidak tahu apa yang mereka boleh mohon, sama ada dalam aspek kebajikan atau pembangunan insan,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan mengadakan program dalam bahasa Tamil serta memastikan penyebaran maklumat dilakukan di lokasi yang lebih strategik, seperti kuil-kuil, bagi memastikan golongan sasaran benar-benar mendapat manfaat.
“Kerajaan perlu mengadakan program dalam bahasa Tamil dan mengelakkan kawasan yang kurang populasi masyarakat India. Jika kita mahu menarik lebih ramai lagi orang India, kita perlu melaksanakan program outreach dalam bahasa yang mereka mudah fahami,” jelasnya lagi.
Dengan langkah yang lebih proaktif, beliau percaya lebih ramai masyarakat India dapat menikmati program kebajikan dan pembangunan yang telah disediakan oleh kerajaan.