Malaysia
Bayi Baru Lahir Ditemui di Tangga Flat Puchong Permai
Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan dalam beg serbaguna di tangga tingkat 10 Flat Puchong Permai, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata bayi yang cukup sifat itu dijumpai oleh orang awam pada jam 4.30 petang sebelum dimaklumkan kepada polis.
“Bayi tanpa pakaian itu sudah dibersihkan dan dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang. Beratnya 2.84 kilogram dengan panjang 54 sentimeter, dan kini dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.