Beberapa penerbangan terjejas susulan letusan Gunung Lewotobi

Gunung berapi Lewotobi di Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus beberapa kali pada Isnin, menghasilkan kepulan abu setinggi lapan kilometer ke udara dan memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran penerbangan tertinggi.
Awan abu tebal dilaporkan bergerak ke arah barat dan barat laut, menyebabkan Pusat Mitigasi Bencana Geologi dan Vulkanologi menaikkan tahap amaran ke paras merah.
Semua pesawat dinasihatkan mengelak kawasan berhampiran pada ketinggian bawah enam kilometer kerana risiko kerosakan enjin dan gangguan penglihatan.
Penduduk, pelancong dan pengunjung turut dilarang melakukan aktiviti dalam radius tujuh kilometer dari kawah gunung, manakala komuniti di lereng diminta berwaspada terhadap kemungkinan banjir lahar terutama ketika hujan lebat.
Gunung Lewotobi setinggi 1,584 meter itu merupakan salah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia.