Beg tangan Birkin dilelong RM49 juta, rekod termahal dunia

Beg tangan Birkin asal, yang menjadi ilham kepada salah satu aksesori fesyen paling diidamkan di dunia dilelong pada harga €8.6 juta (kira-kira RM49 juta), menjadikannya beg tangan paling mahal pernah terjual dalam sejarah lelongan.
Beg kulit hitam itu dibuat khas untuk penyanyi Jane Birkin pada tahun 1985 selepas beliau tertumpah barangan peribadi ketika duduk bersebelahan Ketua Eksekutif jenama mewah Hermès dalam penerbangan.
Beliau ketika itu mempersoalkan kenapa tiada beg tangan lebih besar, lalu Hermès terus melakar rekaan sebelum menghasilkan prototaip beg yang kini menjadi legenda.
Prototaip unik itu dilelong kepada seorang pengumpul persendirian dari Jepun di rumah lelongan Sotheby’s Paris, jauh mengatasi rekod sebelumnya iaitu €439,000 (kira-kira RM2.5 juta).
Sotheby’s memaklumkan terdapat ‘perang bidaan’ selama 10 minit melibatkan sembilan pembida yang bersemangat, sekali gus menggambarkan pengaruh luar biasa jenama Birkin serta nilai sentimental dan sejarahnya.
Menurut Ketua Global Bahagian Beg dan Fesyen Sotheby’s, pencapaian harga ini membuktikan bagaimana status legenda mampu membakar keghairahan para pengumpul untuk memiliki barangan eksklusif dengan sejarah tersendiri.
Jumlah harga termasuk komisen dan caj lain, menjadikan lelongan ini antara paling mencuri tumpuan dalam dunia fesyen global.