Bekas pegawai direman, Teresa Kok jangka dirinya juga akan dipanggil SPRM

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menjangka akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas bekas pegawainya, Edmund Teoh, direman hingga Ahad.
Seorang lagi bekas pegawainya, Ng Yoot Kuen, turut dipanggil memberi keterangan.
Siasatan dipercayai berkaitan ucapan Kok di Parlimen tahun lalu mengenai peruntukan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.
Beliau menegaskan ucapannya dibuat secara terbuka dan disiarkan di media sosial.
Kok mengesahkan SPRM telah mengunjungi pusat khidmatnya secara mengejut tetapi tidak pasti jika ada dokumen dirampas. Beliau berjanji memberi kerjasama penuh.
Beliau pada masa sama kesal ada pihak dalam partinya sendiri menyalahkannya atas siasatan ini dan menolak dakwaan mampu mempengaruhi SPRM sebelum pemilihan DAP pada 16 Mac.