Bekas pengurus Petronas mengaku tidak bersalah bocor dokumen kepada Petros

Seorang bekas pengurus Petronas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan cubaan mendedahkan dokumen sulit berhubung prestasi operasi dan kewangan syarikat itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), pada Jun tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, 40, didakwa melakukan perbuatan itu ketika bertugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah kondominium di Jalan Pinang pada 8 Jun, antara jam 3.19 petang hingga 3.21 petang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali. Seksyen 511 pula membawa hukuman penjara tidak melebihi separuh daripada hukuman asal.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM50,000 atas faktor dokumen sulit yang dikaitkan dengan kepentingan kerajaan, manakala pihak pembelaan memohon jumlah lebih rendah atas alasan pendapatan tertuduh tidak stabil dan menanggung keluarga.
Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan penyerahan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei.