Bengang video gaduh ditularkan, punca ‘Abang Sado’ bertumbuk dengan Tony Lim

Insiden pergaduhan antara jurulatih seni bela diri campuran (MMA), Tony Lim, dan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Selangor berpunca daripada rasa tidak puas hati ekoran video pergaduhan yang ditularkan lebih awal.
Difahamkan, video pertama yang tular menunjukkan pertengkaran antara pengawal keselamatan tersebut dan seorang penduduk warga emas pada sebelah pagi.
Tony kebetulan berada di lokasi dan mendakwa melihat pengawal terbabit bertindak kasar terhadap lelaki berkenaan.
Namun insiden sebenar tercetus pada sebelah malam apabila Tony berdepan dengan pengawal keselamatan itu yang hadir bersama dua individu dipercayai majikannya.
Ketika itu, pengawal berkenaan dikatakan menuduh Tony sebagai individu yang menularkan video pergaduhan tersebut dan meninggalkan komen di media sosial.
Pertanyaan itu dipercayai mencetuskan ketegangan hingga membawa kepada pergaduhan fizikal antara kedua-duanya.
Tony menafikan dakwaan bahawa dia menyebarkan video asal, dan mendakwa tindakannya dalam video yang kedua adalah semata-mata untuk mempertahankan diri selepas diprovokasi.
Beliau juga menjelaskan dia tidak memulakan sebarang kekecohan dan hanya mahu membersihkan namanya.
Menurut polis, kedua-dua individu yang terlibat telah tampil membuat laporan dan kes diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak tanpa sebarang tangkapan.