Malaysia

Berdiam diri tak semestinya saya tak berbakti kepada komuniti India – Nurul Izzah

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa sikapnya yang lebih banyak berdiam diri bukan bermakna beliau tidak mengambil berat atau tidak melakukan usaha untuk membantu masyarakat India di negara ini.

Sebaliknya, beliau memilih untuk bekerja secara senyap di belakang tabir kerana lebih mengutamakan hasil berbanding publisiti.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membacakan ucapan Nurul Izzah pada sidang media mengenai usaha memperkasa masyarakat India dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Sepanjang tahun lalu, saya berpeluang bekerja bersama pasukan rakyat Malaysia yang berdedikasi, termasuk Shan Mugam dan Charles Santiago, bagi menganjurkan beberapa siri meja bulat yang dipimpin oleh pakar.

“Ini bukanlah sekadar perhimpunan bersifat seremonial atau ‘syok sendiri’, kami menghimpunkan ahli ekonomi, penjawat awam, NGO dan pemimpin masyarakat untuk merangka penyelesaian khusus terhadap isu seperti kadar keciciran sekolah, kemiskinan, ketiadaan kerakyatan dan pengangguran tersembunyi. Dan ini baru sahaja permulaan,” kata Nurul Izzah dalam ucapan yang dibacakan Santiago.

Tambah Nurul Izzah, segala persidangan melibatkan individu dari pelbagai latar belakang itu adalah bagi mencari penyelesaian isu berlarutan yang dihadapi masyarakat India, khususnya golongan B40.

Hasil perbincangan itu turut membawa kepada cadangan rangka kerja pembangunan masyarakat India bersama Yayasan Iltizam Malaysia serta lebih 200 pertubuhan masyarakat sivil.

Rangka kerja tersebut antaranya mencadangkan dasar pendidikan prasekolah nasional, pusat latihan TVET, inkubator keusahawanan untuk wanita dan belia, serta penubuhan agensi berkanun bagi memastikan bantuan dapat disalur secara telus.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker