Malaysia

BERSATU calonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-11; PAS ingatkan jangan gopoh

KUALA LUMPUR, 8 September –

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Keputusan itu dibuat sebulat suara pada Perhimpunan Agung parti yang berlangsung semalam. Menurut Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Azmin Ali, perwakilan juga memberi sokongan penuh supaya Muhyiddin terus kekal sebagai Presiden parti.

Terdahulu, ketika ucapan dasar, Muhyiddin mendakwa terdapat usaha dalaman segelintir pihak yang cuba mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya daripada jawatan Presiden, yang sekali gus menimbulkan sedikit kekecohan dalam perhimpunan.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Sanusi Nor, mengingatkan BERSATU bahawa keputusan penting Perikatan Nasional – termasuk pemilihan calon Perdana Menteri – tidak seharusnya dibuat tanpa perbincangan dengan parti komponen lain.

Beliau juga menegaskan, perkara seperti agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlangsung serta calon Ketua Menteri tidak boleh ditentukan secara bersendirian. “Prinsip setiakawan dalam gabungan mesti sentiasa dipelihara,” kata Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah.

Isu calon Perdana Menteri bagi PRU-16 telah menjadi perbincangan dalam PN sejak setahun lalu. Walaupun BERSATU konsisten mencadangkan Muhyiddin, pimpinan PAS sebelum ini, menegaskan bahawa sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas gabungan itu berjaya menawan Putrajaya.

Untuk rekod, Muhyiddin, 78, pernah menjadi Perdana Menteri kelapan dari tahun 2020 hingga 2021, dan hampir kembali menduduki jawatan itu selepas PRU-15.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker