“Bina masjid bersebelahan kuil dilihat sebagai solusi terbaik”

Cadangan untuk membina sebuah masjid bersebelahan dengan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, dilihat sebagai langkah positif dalam memupuk perpaduan antara penganut pelbagai agama di Malaysia.
Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek, berkata daripada meroboh dan memindahkan kuil 130 tahun itu, masjid boleh dibina di dua plot tanah yang berdekatan.
Katanya, tapak yang berdekatan cukup besar untuk membina sebuah masjid, dan masih ada ruang untuk pengembangan.
Sementara itu, Datuk Ambiga Sreenevasan yang menjadi wakil pengurusan kuil berkata, badan pengurusan masih berharap untuk terus kekal di atas tapak tersebut, walaupun tanah tersebut sudah menjadi hak milik syarikat swasta.
Beliau berkata, DBKL mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu kuil tersebut kekal, kerana ia telah wujud di atas tapak tersebut lebih daripada 130 tahun, selain urusan penjualan tanah yang berlaku pada 2014 tidak dimaklumkan kepada mereka.
Tambahnya, kuil tersebut menerima pengunjung bukan sahaja dari dalam tetapi di luar negara dan kawasan Masjid India sendiri mempunyai populasi kaum India yang besar, sama ada Muslim atau Hindu, jadi mengapa sekarang kerajaan mahu masuk campur?
Beberapa portal media sebelum ini melaporkan pemilik tanah tersebut bercadang untuk membina sebuah masjid baru, dikenali sebagai ‘Masjid Madani, sambil mendakwa majlis pecah tanah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada penghujung bulan ini.