Budak perempuan 10 tahun pecah rekod tewaskan ‘grandmaster’

Bodhana Sivanandan mencipta sejarah sebagai pemain catur wanita termuda menewaskan grandmaster apabila menundukkan Peter Wells, 60 tahun, pada pusingan akhir Kejohanan Catur British 2025 di Liverpool baru-baru ini.
Kejayaan pada usia 10 tahun, lima bulan dan tiga hari itu memecahkan rekod 2019 milik pemain Amerika Syarikat, Carissa Yip yang menewaskan grandmaster pada usia 10 tahun, 11 bulan dan 20 hari.
Menariknya, bakat luar biasa Sivanandan mula terserlah ketika pandemik Covid-19, meskipun kedua-dua ibu bapanya tidak tahu-menahu cara bermain catur.
Kemenangan terbarunya juga bukan mudah, apabila dia bangkit daripada situasi hampir kalah melalui gerakan yang tenang dan tepat sekali gus membakar semangatnya untuk bergelar ‘grandmaster’.
Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) turut menganugerahkan Sivanandan gelaran Woman International Master (WIM), iaitu gelaran kedua tertinggi khusus untuk wanita selepas Woman Grandmaster.
Gelaran grandmaster pula adalah kedudukan tertinggi dalam catur dan dipegang seumur hidup.