CEO Batu mengaku tidak bersalah tunjuk gambar kemaluan kepada gadis bawah umur

Pempengaruh media sosial dikenali sebagai CEO Batu, Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunjukkan gambar kemaluan dengan niat untuk dilihat mangsa di sebuah kediaman di Batu Caves pada jam 1.16 pagi, 16 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.
Ia selepas mengambil kira rayuan peguam yang memaklumkan pendapatan anak guamnya kini terjejas susulan akaun media sosialnya disekat serta telefon bimbit dirampas polis.
Sebutan semula kes dilakukan pada 14 Ogos depan untuk serahan dokumen.