CEO syarikat tersenarai ditahan atas tuntutan palsu RM2.6 juta

PETALING JAYA:
CEO sebuah syarikat tersenarai dan seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam tuntutan palsu membabitkan RM2.6 juta.
Sumber berkata, lelaki berusia 60-an dan wanita berusia 40-an itu ditahan antara 7 malam hingga 11 malam ketika memberi keterangan di pejabat SPRM.
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai bersubahat mengemukakan dokumen palsu bagi mengeluarkan dana syarikat, yang kemudian dipindahkan ke akaun syarikat tempat suspek wanita bekerja.
Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah reman empat hari hingga 17 Februari. Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Zainul Darus, mengesahkan penahanan tersebut.
Semalam, media melaporkan dua pengarah syarikat dan dua naib presiden kanan, termasuk seorang bergelar “Datuk”, turut ditahan berhubung kes sama.