Cubaan Curi Mesin ATM Emas Gagal, Tiga Lelaki Ditahan

Polis Ampang Jaya menahan tiga lelaki tempatan, termasuk seorang remaja, selepas cubaan mereka mencuri mesin ATM emas di sebuah pasar raya di Ampang gagal apabila mesin tersebut tidak mengandungi jongkong emas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail, berkata suspek menggunakan lori yang diupah untuk membawa keluar mesin tersebut pada 23 November lalu. Kerugian dianggarkan RM60,000 bagi mesin tersebut.
Penahanan suspek berusia 17 hingga 41 tahun dilakukan antara 26 November dan 30 November di sekitar ibu kota dan Kajang. Seorang daripada mereka didapati positif dadah Methamphetamine dan Amphetamine serta memiliki 54 rekod jenayah lampau.
Lelaki itu kini direman empat hari, manakala dua lagi suspek diberi jaminan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.