Dana peruntukan bantu usahawan wanita India cecah ratusan juta – Ramanan

Kejayaan Program Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women (P.E.N.N) mendorong kepada penambahan peruntukan yang kini mencecah RM100 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan yang mengumumkan tambahan peruntukan RM50 juta pada Selasa memaklumkan, lebih 10,000 usahawan wanita India berjaya memanfaatkan program tersebut setakat ini.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa program seperti ini yang memberi manfaat kepada ribuan usahawan baru ini juga akan berterusan ekoran sokongan komuniti yang luar biasa.
“Siapa-siapa yang duduk di mana-mana tempat pun, kalau dia mahu batalkan program-program seperti ini, saya ingat hentaman yang dia akan terima daripada komuniti, harap dia boleh tahanlah, jadi saya tidak risau pasal isu itu,” katanya.
Perkara itu diumumkan beliau di hadapan lebih 1,000 Sahabat Usahawan Wanita India Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sempena Majlis Pelancaran P.E.N.N 2.0 yang diadakan di pekarangan ibu pejabat AIM, di Bandar Sri Damansara.
Menurutnya, usahawan yang sudah menerima pembiayaan P.E.N.N kebanyakannya berjaya meningkatkan pendapatan mereka antara 20 hingga 30 peratus berbanding sebelumnya.
Permohonan untuk P.E.N.N kini dibuka di semua 124 pejabat cawangan AIM di seluruh negara.