Malaysia

DAP buat laporan polis terhadap tindakan demonstrasi Akmal Saleh di P.Pinang

Parti DAP mengecam tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang mengetuai tindakan perarakan dan demonstrasi di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas pada Khamis.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menerusi satu kenyataan media berkata, tindakan itu merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga tersebut kerana permohonan maaf sudah pun dibuat.

Kata Loke, tindakan Akmal mengendahkan amaran polis juga jelas mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam sekali gus mengakibatkan kegusaran peniaga-peniaga di kawasan tersebut sehingga ada yang terpaksa tutup kedai lebih awal.

Beliau pada masa sama mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kejadian itu di bawah Seksyen 503, 504, 505, 507B dan 507C Kanun Keseksaan.

Ia melibatkan kesalahan menakutkan secara jenayah, mengeluarkan kenyataan mengaibkan, mendatangkan khianat awam, serta menyebabkan gangguan, ketakutan atau kebimbangan kepada mangsa.

Tegasnya, Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan namun perbuatan membuli bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini.

Terdahulu, kira-kira 500 ahli dari UMNO, Pas dan Bersatu mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker