DBKL ambil alih sepenuhnya permohonan lesen dan penyelenggaraan bazar Ramadan – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil alih sepenuhnya urusan permohonan lesen dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu kota bermula tahun ini bagi memastikan kadar sewa gerai yang berpatutan dan pengurusan yang lebih baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pendekatan baharu ini bertujuan menangani aduan mengenai yuran permohonan perniagaan.
“Dalam pendekatan baharu ini, kami juga menawarkan kadar sewa yang berpatutan. Kadar sewa untuk gerai bazar (Ramadan) hanya RM500…sekitar RM16 sehari. Terdapat aduan bahawa beberapa peniaga membelanjakan sehingga RM20,000 tetapi gagal mendapatkan gerai,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara di Bernama TV semalam.
Dr Zaliha berkata, DBKL akan bekerjasama dengan badan korporat bagi memastikan operasi bazar Ramadan lebih teratur.