Demam Babi Afrika jangkiti 3 ladang di Pulau Pinang; 50 ekor babi mati

Tasek Gelugor, 13 Julai –
Wabak Demam Babi Afrika (ASF) telah dikesan di tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab, jangkitan ASF itu disahkan melalui ujian makmal ke atas sampel yang diambil dari ladang berkenaan.
Setakat ini, 50 ekor babi telah mati di dua daripada tiga ladang terlibat, dan ramai lagi haiwan menunjukkan simptom awal penyakit berkenaan.
Susulan penularan itu, larangan serta-merta telah dikenakan ke atas sebarang pemindahan babi keluar dari ladang yang dijangkiti bagi mengelakkan penularan ke ladang atau daerah lain, jelas Dr Saira Banu.
Tambah beliau, pemantauan biosekuriti telah diperketatkan dan sampel dari ladang-ladang berdekatan juga telah diambil untuk ujian lanjut bagi mengesan sebarang jangkitan awal.
Beliau turut menyeru semua pengusaha ladang babi agar segera melaporkan sebarang kematian luar biasa atau gejala mencurigakan dalam kalangan haiwan ternakan mereka kepada pihak berkuasa.
Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, ia boleh memberi kesan ekonomi yang besar kepada industri penternakan babi, terutamanya akibat larangan pergerakan haiwan ternakan.
Difahamkan, terdapat sebanyak 63 ladang ternakan babi di Kampung Selamat dengan populasi haiwan mencecah 120,000 ekor, menjadikan kawasan itu antara pusat penternakan babi terbesar di negeri ini.