Malaysia

Diacu senjata MP5 pun enggan berhenti, rupanya pemandu bawah umur

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas memandu tanpa lesen dan melarikan diri ketika diarahkan berhenti di Jalan Bandar Baru, Kuala Nerus pada Isnin lalu.

Kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang ketika kereta Proton Wira dipandunya dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Unit Rondaan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Suspek enggan berhenti walaupun diarahkan beberapa kali dan memandu secara berbahaya sehingga hampir melanggar kereta peronda.

Bagi tujuan keselamatan, anggota polis terpaksa mengeluarkan senjata api jenis HK MP5 sebagai amaran sebelum kenderaan berkenaan berjaya dihentikan.

Pemeriksaan mendapati remaja itu merupakan pelajar sekolah yang memandu kereta milik abangnya tanpa kebenaran.

Tiada barang larangan ditemui dan bapanya dipanggil ke lokasi sebelum suspek dibawa untuk siasatan lanjut.

Polis mengeluarkan saman atas kesalahan memandu tanpa lesen selain memberi amaran agar kejadian sama tidak berulang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, manakala video kejadian berdurasi 24 saat turut tular di media sosial.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker