Diogo Jota meninggal dunia selepas Lamborghini dipandu terlibat nahas di Sepanyol

Dunia bola sepak dikejutkan dengan berita pemergian penyerang Liverpool dan Portugal, Diogo Jota yang maut dalam kemalangan jalan raya di Zamora, Sepanyol pada Khamis.
Menurut laporan media Sepanyol dan Portugal, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 pagi waktu tempatan apabila kereta Lamborghini yang dinaiki Jota dan abangnya, Andre Silva terbabas akibat tayar pecah.
Ia berlaku ketika cuba memotong kenderaan lain di lebuh raya A-52 berhampiran Palacios de Sanabria, sebelum terbakar.
Jota, 28, baru sahaja menamatkan musim cemerlang bersama Liverpool dengan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25 di bawah kendalian pengurus baharu, Arne Slot.
Beliau juga baru dua minggu melangsungkan perkahwinan dengan Rute Cardoso di Porto, meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil.
Jota yang menyertai Liverpool pada 2020 pernah membantu The Reds memenangi Piala FA pada 2022, selain membawa pasukan ke final Liga Juara-Juara dan Piala EFL pada musim sama.
Pemergian Jota yang juga tonggak penting skuad kebangsaan Portugal nyata satu kehilangan besar buat dunia bola sepak, terutama ketika beliau berada di kemuncak kariernya.