Diumpan wanita datang ke rumah sebelum dibelasah beramai-ramai

Seorang pemuda dilihat berada dalam keadaan separuh nyawa selepas dibelasah beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Pasir Gudang, Johor.
Rakaman itu tular di media sosial dengan memaparkan kira-kira enam orang lelaki memukul mangsa berulang kali selain menumbuk di bahagian dada, muka dan anggota badan lain.
Ia lebih mencetuskan kemarahan orang ramai apabila mangsa turut dicederakan di bahagian alat sulit dengan tangan dan kaki dipegang sebelum dipukul sebelum mangsa meronta kesakitan.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa pada awalnya dipercayai menerima panggilan daripada seorang wanita untuk menemaninya di rumah yang terletak di Plentong.
Dia kemudian mendapati terdapat tiga orang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam rumah berkenaan sebelum tiga lagi yang lain keluar daripada bilik sebelum bertindak memukulnya.
Mangsa melaporkan bahawa motosikal jenis Yamaha Y15 termasuk wang tunai RM500 miliknya telah diambil dan dia dihantar ke klinik oleh salah seorang lelaki untuk mendapatkan rawatan.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan dan dijangka memberikan respon berkaitan kejadian terbabit dalam masa terdekat.