Dua lelaki maut ditembak berdas-das depan pusat beli-belah di Cheras

Dua lelaki maut selepas ditembak berdas-das tembakan oleh sekumpulan suspek di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, sekitar jam 12.15 tengah malam tadi.
Mangsa yang sedang berjalan menuju ke kereta mereka diserang oleh beberapa lelaki memakai topi keledar sebelum beberapa das tembakan dilepaskan, menyebabkan kedua-duanya rebah berlumuran darah.
Kedua-dua mangsa ditembak di bahagian kepala dan badan dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Suspek yang bersenjatakan pistol melarikan diri menaiki sebuah Perodua Alza dan kini sedang diburu polis. Siasatan turut melibatkan rakaman CCTV serta keterangan saksi.
Mangsa dipercayai berasal dari Sibu, Sarawak dan berusia dalam lingkungan 40-an. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.