Dua Penjenayah Samun Tegar Mati Ditembak di Tanjung Malim
Dua suspek samun berkumpulan, terkenal dengan ungkapan “call polis, aku tak takut,” ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di susur keluar Jalan Proton City-Tanjung Malim, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, suspek berusia 29 dan 37 tahun enggan berhenti selepas diarahkan polis, malah melepaskan tembakan dan menyerang menggunakan parang sebelum ditembak pada jam 5.20 pagi.
Polis merampas sepucuk pistol SIG Sauer, dua parang panjang, peluru, sarung muka, sarung tangan, plat pendaftaran palsu, dan kelongsong peluru di lokasi kejadian. Suspek berusia 29 tahun memiliki 20 rekod jenayah dan dadah, manakala rakannya mempunyai tiga rekod jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.