Dua remaja perempuan maut dirempuh pengedar dadah di Temerloh

Dua remaja perempuan berusia 18 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, Temerloh, malam Rabu.
Mangsa, Nur Irdina Shaffiya dan Aneez Irdiena Sofya, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketika kejadian kira-kira jam 11 malam, motosikal mereka dikatakan berhenti di lampu isyarat merah sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 38 tahun.
Pemandu yang tidak cedera itu ditahan selepas polis menemui lebih 50 gram dadah jenis syabu dan heroin di dalam keretanya.
Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Dadah Berbahaya. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat.