DVS Selangor Siasat Kes Kucing Dibiar Dalam Guni di Cheras

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor menyita sebuah kereta Nissan, guni, dan sangkar dipercayai digunakan untuk mengangkut kucing sebelum dibuang di kawasan pangsapuri di Batu 9, Cheras. Kejadian itu tular di media sosial melalui video berdurasi 37 saat yang memaparkan penduduk sekitar memasukkan kucing ke dalam guni dan but kereta semasa program gotong-royong.
Pasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor segera bertindak ke lokasi aduan dan menjalankan siasatan. Beberapa individu dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Kes disiasat di bawah Subseksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor.
Polis turut mengesahkan menerima dua laporan mengenai kejadian yang berlaku antara jam 9 pagi hingga 3 petang, melibatkan penganiayaan terhadap kucing.