Malaysia
Empat Ditahan Kes Pukul Lelaki di Semenyih

Polis menahan empat individu yang disyaki terlibat dalam kes memukul seorang lelaki di Semenyih pada 29 Disember lalu selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, memaklumkan suspek berusia 32 hingga 36 tahun ditahan antara Rabu lepas hingga semalam. Tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah.
“Kami sedang menyiasat motif serangan ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya,” katanya.
Video tular menunjukkan seorang lelaki memegang papan kayu dan seorang lagi menggunakan kunci stereng untuk menyerang mangsa di depan deretan kedai. Mangsa dilihat cuba melindungi diri daripada serangan tersebut.