Empat individu didakwa bunuh lelaki di taman rekreasi Sentul

Empat individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Taman Metropolitan Batu, Sentul, minggu lalu.
Mereka yang didakwa ialah Mustafa Samsuddin, 46; SR Gawthaman, 29; Mohamad Sharaf Abdullah, 22; dan P Meenatchi, 50. Kesemua tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kematian B Sitambaran, 31, pada 18 April.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa, manakala tertuduh diwakili peguam Simret Singh, M Mathavan dan Tharamjit Singh.
Mahkamah menetapkan 4 Ogos untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.