Enam tahun bermewah lari cukai, Op metal SPRM sita aset bernilai RM183 juta

Taktik licik sindiket penyeludupan besi akhirnya terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama JKDM, LHDN dan BNM melancarkan operasi besar-besaran Op Metal di lima negeri.
Hasil serbuan, pelbagai aset mewah termasuk banglo, penthouse, lot kedai, tanah luas, ladang kelapa sawit, kereta dan jam berjenama bernilai lebih RM183 juta berjaya disita.
Dalam operasi bersepadu itu, SPRM turut membekukan 127 akaun syarikat dan individu melibatkan nilai sekitar RM51 juta.
Antara rampasan utama ialah lapan hartanah eksklusif di Pulau Pinang, lebih 1,960 ekar ladang sawit di Kuala Krai, enam kereta mewah termasuk Porsche Cayenne dan Range Rover, serta lima jam tangan berjenama bernilai hampir RM740,000.
Operasi ini susulan pendedahan modus operandi sindiket yang menyeludup besi buruk ke luar negara dengan mengikrarkan ia sebagai jentera dan logam lain bagi mengelak cukai eksport 15 peratus.
Tindakan ini mengakibatkan kerugian hasil cukai negara dianggarkan melebihi RM950 juta sejak enam tahun lalu.
SPRM kini sedang mengesan individu serta rangkaian yang bersekongkol dengan sindiket terbabit. Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 selain turut meneliti kesalahan berkaitan pengubahan wang haram, Akta Cukai Pendapatan dan Akta Kastam.