Francais prasekolah terus dapat sambutan, pendidikan khas juga perlu difokuskan – PERNAS

Sektor francais perkhidmatan semakin mendapat perhatian kerana permintaan tinggi dalam bidang pendidikan, terapi, dan penjagaan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah menjelaskan pihaknya melihat potensi besar dalam francais prasekolah, khususnya yang menawarkan pendidikan khas seperti untuk kanak-kanak autisme.
Ujarnya, dengan model yang diadaptasi dari Jepun, usaha itu bertujuan merapatkan jurang dalam sistem pendidikan khas di Malaysia.
Selain itu, francais dalam kemahiran komunikasi dan terapi turut berkembang. Sebagai contoh, francais yang melatih kanak-kanak dalam debat dan pengucapan awam menarik minat ibu bapa yang ingin meningkatkan keyakinan anak-anak mereka.
Begitu juga dengan pusat seni seperti Global Arts, yang bukan sekadar mengajar melukis tetapi turut berperanan dalam terapi pemulihan.
Memandangkan Malaysia bakal menghadapi populasi menua dalam lima tahun akan datang, perkhidmatan penjagaan warga emas juga menjadi peluang francais yang menjanjikan.
Dari perkhidmatan penghantaran barang keperluan hingga sokongan harian untuk golongan berusia, sistem francais dapat memenuhi keperluan ini secara meluas.
Dengan sokongan PERNAS, usahawan tempatan berpeluang mengembangkan perniagaan dalam sektor perkhidmatan yang bukan sahaja menguntungkan tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat.