Gabenor Riau bersuara selepas Pacu Jalur didakwa berasal dari Malaysia

Tradisi Pacu Jalur, iaitu perlumbaan mendayung perahu panjang yang sinonim dengan masyarakat Kuantan Singingi di Provinsi Riau, kini tular di media sosial selepas tersebarnya video pendek memaparkan keunikannya.
Populariti acara itu turut melonjak selepas aksi seorang kanak-kanak bernama Rayyan Arkan Dikha yang menari di atas perahu ketika Festival Pacu Jalur menarik perhatian ramai di TikTok.
Susulan tularnya video tersebut, muncul beberapa dakwaan netizen yang mengaitkan tradisi Pacu Jalur kononnya berasal dari Malaysia.
Menjawab perkara itu, Gabenor Riau, Abdul Wahid menegaskan Pacu Jalur adalah tradisi warisan masyarakat Riau sejak berabad lalu, khususnya di Kuantan Singingi.
Beliau menjelaskan, Pacu Jalur pada asalnya bermula daripada aktiviti masyarakat yang menggunakan perahu sebagai pengangkutan harian, sebelum akhirnya berkembang menjadi perlumbaan yang diadakan setiap tahun sehingga kini diangkat sebagai acara bertaraf kebangsaan.
Abdul Wahid turut menyeru agar tradisi Pacu Jalur terus dipelihara sebagai identiti budaya masyarakat Riau yang telah diwarisi turun-temurun.