Gajah liar ‘serbu’ kedai runcit, curi makanan dalam masa 10 minit

Seekor gajah liar mencetuskan kekecohan apabila masuk ke dalam sebuah kedai runcit di Thailand pada Isnin lepas dan menikmati snek manis tanpa gangguan selama lebih 10 minit.
Gajah tersebut yang dikenali penduduk tempatan sebagai Plai Biang Lek, sering dilihat berkeliaran di sekitar Taman Negara Khao Yai dan sudah biasa dengan penduduk setempat.
Walaupun sering melalui kawasan itu, ini kali pertama dia masuk ke dalam premis berkenaan.
Kejadian berlaku sekitar jam 3 petang, apabila Plai Biang Lek keluar dari hutan dan terus melangkah masuk ke kedai.
Pemilik kedai, Ploy, yang ketika itu melayan pelanggan, terkejut dan terus melarikan diri sebelum menghubungi pihak Taman Negara Khao Yai untuk bantuan.
Rakaman CCTV menunjukkan Plai Biang Lek tenang menikmati snek yang dijual serta mengambil beberapa biji telur dan snek lain.
Kehadiran Plai Biang Lek menyebabkan kerosakan kecil pada rak dan barang jualan, dengan anggaran kerugian sekitar 1,000 baht (RM130).