Gaji RM5,000 ke atas tidak realistik dengan ekonomi semasa – WEF

Cadangan bahawa kadar gaji bermaruah bagi individu bujang dan keluarga dua anak sepatutnya berada pada paras RM5,000 ke atas dilihat tidak realistik dengan konteks ekonomi semasa.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ia kerana kebanyakan majikan terutamanya sektor mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih bergelut untuk menstabilkan kewangan syarikat selepas pandemik COVID-19 melanda.
Menurutnya, kadar kenaikan kos operasi, gangguan rantaian bekalan global dan perubahan permintaan pengguna mengekang keupayaan majikan untuk menawarkan kenaikan gaji tanpa memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan.
Secara umumnya, sebarang cadangan menetapkan gaji bermaruah RM5,000 ke atas tidak mengambil kira realiti semasa majikan dan landskap ekonomi global terutamanya selepas pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) terhadap pengeksport termasuk Malaysia.
Sebelum ini, Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, kadar gaji ideal dan bermaruah bagi kategori bujang mahupun keluarga yang mempunyai dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas.
Ia bergantung kepada lokasi sama ada menetap di bandar atau luar bandar.