Gambar lawatan Dr Dzulkefly ke IJN dipadam selepas dikritik keluarga Hadi Awang

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memadam gambar lawatannya ke atas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN), selepas ia mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga pemimpin tersebut.
Sebelum ini, gambar berkenaan dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, memaparkan Dzulkefly melawat Abdul Hadi yang sedang menerima rawatan.
Namun, ia mengundang kritikan apabila anak Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak menghormati privasi keluarga dan dianggap melanggar prosedur operasi standard (SOP) hospital.
Menurut Khalil, gambar Abdul Hadi yang dirakam dan dikongsi tanpa kebenaran keluarga untuk tatapan umum adalah tidak wajar dan tidak beretika, malah menyifatkannya sebagai satu sikap tidak profesional daripada seorang menteri.
Ekoran reaksi tersebut, gambar berkenaan tidak lagi kelihatan di akaun media sosial Dr Dzulkefly.
Dalam hantaran yang dimuat naik sebelum ia dipadam, Dzulkefly memaklumkan keadaan kesihatan Abdul Hadi stabil dan dijangka pulang dalam masa terdekat.
Beliau juga memaklumkan bahawa prosedur perubatan yang dijalankan ke atas Abdul Hadi berjalan lancar walaupun melibatkan rawatan yang kompleks.