Gara-gara sebotol ketum, dua beradik pandu 90km lari dari polis

Dua beradik berusia 18 dan 24 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri daripada polis dalam insiden kejar-mengejar sejauh 90 kilometer sebelum berhenti sendiri di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, awal pagi tadi.
Kejadian bermula sekitar 1.30 pagi apabila kereta Proton Wira dinaiki mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan di Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam. Walaupun diarahkan berhenti, pemandu bertindak memecut laju secara melulu.
Enam kereta peronda terlibat dalam usaha mengejar suspek sehingga kereta mereka berjaya dipintas di Seksyen 9, berhampiran pintu pagar IPK. Hasil pemeriksaan menemui sebotol cecair hijau dipercayai air ketum di bawah tempat duduk penumpang.
Siasatan mendapati pemandu mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah, manakala adiknya tiada rekod jenayah. Kedua-duanya direman hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.