Gelang emas bernilai RM18,000 hilang ditolak kucing ke tong sampah

Seorang wanita di Guilin, China berputih mata apabila gelang emas miliknya bernilai kira-kira 30,000 yuan (kira-kira RM18,000) hilang selepas terjatuh ke dalam tong sampah akibat perbuatan kucing peliharaannya.
Insiden berlaku apabila wanita berkenaan menanggalkan gelang itu dan meletakkannya di meja kopi sebelum masuk ke dapur untuk mencuci pinggan.
Tidak lama kemudian, kucingnya dilihat bermain di atas meja dan secara tidak sengaja menolak gelang berkenaan masuk ke dalam tong sampah berhampiran.
Tanpa menyedari kejadian itu, wanita tersebut membuang sampah seperti biasa. Hampir 18 jam kemudian barulah dia teringat mengenai gelang berkenaan, namun sudah terlambat untuk diselamatkan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan gelang emas itu ditolak masuk ke dalam tong sampah dan lebih malang, pihak berkuasa memaklumkan sampah berkenaan sudah dihantar ke loji pelupusan.