Gen Z, Gen Y rela terima gaji sikit asalkan ada ‘work-life balance’

Golongan Generasi Z (Gen Z) dan Generasi Y (Gen Y) pada hari ini sanggup menerima gaji lebih rendah asalkan dapat menikmati kebahagiaan serta keseimbangan kerja dan kehidupan.
Tinjauan Randstad Workmonitor 2025 yang melibatkan lebih 35,000 pekerja di 34 pasaran kerjaya global mendapati majoriti Gen Z (18–24 tahun) dan Gen Y (25–34 tahun) sanggup berhenti kerja jika pekerjaan mereka menjejaskan kesejahteraan diri.
Keutamaan golongan muda ini kini lebih kepada kebahagiaan peribadi dan gaya hidup berbanding kestabilan pekerjaan.
Sekitar 56% Gen Z dan 55% Gen Y memilih kesejahteraan diri walaupun terpaksa mengorbankan kestabilan kerjaya.
Ramai juga mengambil kira nilai sosial majikan dengan 43% tidak mahu bekerja dengan syarikat yang tidak sehaluan dengan pendirian sosial atau kesesuaian mereka, manakala 41% enggan bersama organisasi yang tiada usaha meraikan kepelbagaian.
Perubahan ini memberi tekanan kepada syarikat untuk menyusun semula strategi dalam menarik dan mengekalkan bakat muda, termasuk menawarkan waktu kerja fleksibel serta memastikan nilai syarikat sejajar dengan harapan pekerja masa kini.