Gen Z lebih utamakan fleksibiliti, keseimbangan hidup

Generasi Z (Gen Z) yang lahir antara akhir 1990-an dan awal 2010-an kini mengubah landskap dunia kerja dengan lebih mengutamakan makna, fleksibiliti dan keseimbangan hidup berbanding jawatan tinggi atau jaminan kerja, menurut laporan Bernama.
Ketua Modal Insan Padiberas Nasional Bhd, S. Prakash berkata, Gen Z mencari pekerjaan yang selari dengan nilai hidup dan mahukan suasana kerja yang menyokong pertumbuhan diri serta kesejahteraan mental.
Mereka cenderung bertanya tentang pembangunan diri semasa temuduga dan tidak teragak-agak meninggalkan tempat kerja yang tidak selari dengan prinsip mereka.
Presiden Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan pula berkata, Gen Z bukan pekerja bermasalah tetapi memerlukan pendekatan berbeza.
Mereka menolak sistem kerja ‘lama’, lebih peka terhadap kesihatan mental dan menilai kejayaan bukan sekadar melalui kerjaya tetap, tetapi keseimbangan hidup yang sihat.
Kedua-dua pakar menyarankan gaya kepimpinan yang lebih empati, terbuka, dan membimbing untuk menarik serta mengekalkan bakat muda ini.