Golongan berkahwin lebih risiko dapat demensia berbanding bujang

Individu yang berkahwin mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap demensia, iaitu keadaan penurunan fungsi otak yang boleh menjejaskan kehidupan harian.
Kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Florida State University College of Medicine dan Universiti Montpellier itu bertentangan dengan dapatan terdahulu yang menyifatkan perkahwinan memberi manfaat kepada kesihatan.
Menurut kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal Alzheimer’s & Dementia, individu yang tidak pernah berkahwin atau bercerai sebenarnya mempunyai risiko demensia yang lebih rendah berbanding mereka yang berkahwin.
Kajian kohort selama 18 tahun itu melibatkan 24,107 warga emas itu mendapati individu tidak pernah berkahwin mencatatkan 40% risiko lebih rendah untuk mendapat demensia.
Individu bercerai pula 34% lebih rendah manakala golongan duda atau janda mencatatkan 27% risiko lebih rendah.
Antara faktor kepada dapatan tersebut adalah mereka yang belum berkahwin mungkin lebih aktif bersosial, sekali gus melindungi kesihatan mental.
Dan bagi mereka yang berkahwin, tekanan akibat perkahwinan yang tidak bahagia mungkin menjadi pencetus kepada penurunan fungsi otak.