Guru lelaki pusat jagaan ditahan, tendang pukul kanak-kanak autisme 6 tahun
![](https://beritatelus.com/wp-content/uploads/2024/07/MixCollage-19-Jul-2024-08-31-PM-5508.jpg)
Kuala Lumpur, Julai 19 – Seorang guru lelaki pusat jagaan kanak-kanak ditahan kerana dipercayai menendang dan memukul seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia 6 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail, pihaknya menerima laporan daripada bapa kanak-kanak autisme berkenaan semalam.
Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan ditendang dipukul dan ditarik secara kasar sehingga terjatuh dari kerusi.
“Terdapat juga kesan gigitan di tangan kanak-kanak berkenaan, susulan dari laporan yang diterima, polis melakukan tangkapan terhadap lelaki tempatan berusia 32 tahun di kediamannya di Ampang.
“Lelaki terbabit merupakan seorang guru dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak, dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Shahrulnizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak.