Guru Tadika Maut 5 Hari Selepas Dipatuk Ular Tedung

Seorang guru tadika, Aznon Sapin @ Mohd Said, 56, meninggal dunia pagi semalam di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, lima hari selepas dipatuk ular tedung selar hitam.
Anaknya, Nur Fatihah Najwa Hamsan, 26, berkata kejadian berlaku Selasa malam ketika ibunya mengemas dapur selepas majlis keluarga. “Ibu tiba-tiba berlari ke ruang tamu meminta bantuan, mengatakan kakinya dipatuk ular. Saya nampak darah di celah jari kakinya,” katanya.
Aznon kemudian pengsan dalam perjalanan ke hospital. Doktor melakukan CPR selama 10 minit untuk memulihkan denyutan jantungnya sebelum memindahkannya ke unit rawatan rapi (ICU).
Selepas tiga hari di ICU, Aznon dipindahkan ke wad biasa tetapi kekal tidak sedarkan diri sehingga menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.20 pagi.
Jenazahnya dikebumikan selepas Zohor di Masjid Jamek Kampung Batu Puteh Darat, Parit Sulong.