Harga durian makin murah, beza sehingga RM30 sekilo berbanding musim lepas

Harga durian di pasaran kini semakin murah, dengan perbezaan ketara sehingga RM30 sekilo berbanding musim terdahulu.
Fenomena ini berlaku kerana sekarang sudah memasuki pertengahan musim durian, ditambah pula dengan hasil yang membanjiri pasaran dari pelbagai negeri termasuk Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Melaka.
Bagi para peniaga durian di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, ia menjadi satu kepuasan apabila sambutan yang diberikan para peminat raja buah ini cukup luar biasa ketika musim durian ini menghampiri kemuncak.
Kata Jonnaidi, harga varieti popular seperti udang merah yang sebelum ini dijual RM40 sekilo kini hanya sekitar RM30, manakala durian tempatan seperti D24 lebih murah lagi. Katanya, stok durian sangat banyak sehingga memberi peluang pelanggan menikmati harga lebih rendah.
Irmansyah pula berkata, suasana ini jelas menarik lebih ramai pembeli. Jika sebelum ini durian IOI gred A dijual pada harga RM45 sekilo, kini hanya sekitar RM28 hingga RM30.
“Musang King yang kebiasaannya RM75 sekilo, kini boleh diperoleh antara RM50 hingga RM55, bergantung pada kualiti dan lokasi,” katanya