Harga iPhone bakal cecah RM10,000 akibat tarif baharu AS

Pengguna teknologi jenama Apple mungkin terpaksa untuk beralih ke jenama lain selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan tarif besar-besaran terhadap pelbagai negara.
Menurut penganalisis, dengan pengumuman tarif itu, kenaikan harga iPhone sebanyak 30% hingga 40% mungkin akan berlaku jika Apple memutuskan untuk memindahkan beban kos tarif kepada pelanggan.
Ia susulan kebanyakan model iPhone masih dikeluarkan di China iaitu negara yang bakal dikenakan tarif sehingga 54%.
Model iPhone 16 versi paling asas dilancarkan di AS pada harga 799 dolar AS dan jika berlaku kenaikan 43% seperti dijangka penganalisis Rosenblatt Securities, harganya boleh mencecah 1,142 dolar AS atau bersamaan kira-kira RM5,100.
Namun, model premium iPhone 16 Pro Max, dengan storan 1TB, yang kini dijual pada harga 1,599 dolar AS, berpotensi naik kepada 2,300 dolar AS bersamaan RM10,281.
Pada hari pengumuman tarif, saham Apple jatuh 9.3%, kejatuhan paling teruk sejak Mac 2020.