Harta, kereta mewah dan gaji penentu layak subsidi RON95 – PM

Harta, kenderaan mewah serta pendapatan bulanan bakal menjadi pertimbangan bagi menentukan seseorang layak untuk mendapat subsidi RON95.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelayakan penerima subsidi RON95 akan ditentukan berdasarkan pelbagai sumber data, termasuk maklumat pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS).
Anwar berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai tarikh pelaksanaan rasionalisasi RON95 serta mekanismenya menerusi jawapan bertulis di Parlimen.
Kata Anwar, kerajaan memberi jaminan sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Malaysia tidak akan terkesan secara langsung dengan langkah itu.
Tambahnya, kerajaan kekal komited untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada separuh kedua tahun 2025.