Henti iklan rumah, jawatan kosong berunsur perkauman – Syerleena

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap diskriminasi yang masih wujud dalam kalangan masyarakat apabila terdapat iklan rumah sewa dan pekerjaan yang jelas menyatakan hanya mahu individu daripada kaum tertentu.
Menurutnya, situasi seperti itu semakin menjadi kebiasaan dan tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan dalam sebuah negara yang berbilang bangsa seperti Malaysia.
“Perkara ini sebenarnya sangat menyedihkan, sebab ia semakin kerap berlaku. Kita boleh lihat iklan yang kata hanya nak segelintir individu untuk sewa rumah atau mohon kerja. Amalan sebegini perlu dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syerleena turut menekankan bahawa Malaysia harus membina naratif yang lebih inklusif dan menghargai kepelbagaian etnik yang menjadi kekuatan negara.
“Kita di Malaysia ini sangat bertuah sebab kita pelbagai kaum, bukan hanya Melayu, Cina dan India. Kita perlu mula fikir sebagai rakyat Malaysia, bukan ikut kaum,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai trend pemimpin politik yang dilihat cenderung meniup sentimen perkauman, terutama ketika sesi Parlimen, yang akhirnya mempengaruhi persepsi rakyat.
“Kebanyakan rakyat Malaysia sebenarnya tak mainkan isu perkauman, tetapi bila mereka tengok apa yang disebut pemimpin di Parlimen atau media sosial, mereka terikut. Ini yang salah. Kita perlukan pemimpin yang bertanggungjawab bila bercakap,” ujarnya lagi.
Beliau berharap agar perubahan boleh dilakukan bermula di peringkat kepimpinan supaya rakyat tidak terus dimomokkan dengan retorik perkauman yang hanya memecahbelahkan perpaduan negara.