Ibu warga emas dipercayai dibunuh, suspek anak kandung OKU mental di Bahau, Seremban

Kuala Lumpur, Jun 26 – Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya yang mempunyai masalah mental dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Bahau, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 11.55 pagi dan mangsa dipercayai bergaduh dengan anaknya.
Hasil siasatan awal mendapati, warga emas itu ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas lantai hadapan halaman rumahnya.
Suspek yang berusia 33 tahun merupakan anak pertama kepada mangsa dan pemegang kad orang kurang upaya.
Difahamkan, kedua-dua suspek dan mangsa sebelum itu dipercayai bertengkar dan berlaku pergelutan, tiada kecederaan disebabkan senjata tajam.
Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan di rumah tersebut dan punca kejadian masih disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.