Ibu Zara Qairina tuntut pembuli mohon maaf, KPM sedia beri kerjasama siasat

Kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustafa Limauan di Papar, Sabah terus mengundang perhatian, apabila ibunya menuntut agar individu yang dikaitkan dengan insiden buli terhadap anaknya tampil memohon maaf secara terbuka.
Menerusi perkongsian di media sosial, ibu Allahyarham menzahirkan rasa kecewa dan kesedihan atas apa yang berlaku, malah menegaskan tidak akan memaafkan perbuatan itu selagi tiada pengakuan atau permohonan maaf daripada mereka yang terlibat.
Katanya, nama-nama pelaku sering disebut oleh anaknya sebelum ini dan beliau percaya mereka tahu perbuatan yang telah dilakukan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan pihak KPM menziarahi keluarga di hospital bagi memastikan kebajikan mereka diberi perhatian.
Menurutnya, bantuan segera serta sokongan psikososial telah disalurkan oleh Jabatan Pendidikan Sabah dan pihak kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis yang sedang dijalankan.
KPM juga menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi menghormati privasi keluarga dan tidak mengganggu siasatan. Sebarang tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
Zara yang berasal dari Sipitang, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada malam Khamis.