Identiti mayat warga asing ditemukan tertiarap disahkan selepas bedah siasat – Polis

Identiti mayat yang dipercayai lelaki warga British yang hilang sejak beberapa hari lepas ditemukan di Bangsar pada Rabu akan disahkan selepas selesai proses bedah siasat.
Memetik laporan Astro AWANI, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan bahawa proses bedah siasat bermula jam 10.30 pagi Khamis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Katanya, mayat itu dijumpai agak tersorok dan berada di kawasan yang agak sukar untuk dibawa keluar.
Mayat dipercayai seorang lelaki warga asing itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan pakaiannya sudah hampir terlucut di lubang Shaft Lif aras bawah di tapak pembinaan itu.
Ku Mashariman berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala punca kematian masih dalam siasatan.