Infrastruktur Lembah Klang ‘tenat’ tampung hampir 10 juta populasi

Laporan peningkatan populasi Lembah Klang yang dijangka mencecah 9.8 juta orang menjelang 2030 mencetuskan kebimbangan terhadap kemampuan infrastruktur dan perkhidmatan awam sedia ada.
Pensyarah kanan UTM, Prof Madya Dr Muhammad Najib Razali, berkata pertambahan dua juta penduduk dalam tempoh kurang dua dekad memberi tekanan besar kepada sistem asas seperti jalan raya, bekalan air, sistem pembetungan, sekolah dan hospital.
Katanya, kesesakan di kawasan seperti Subang Jaya, Puchong dan Cheras kini sudah menjadi rutin harian. Tanpa penaiktarafan infrastruktur yang seiring, keadaan akan bertambah buruk.
Beliau turut memberi amaran bahawa pembangunan tanpa keseimbangan ekologi bukan sahaja mengurangkan ruang hijau, malah memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal penduduk.
Sementara itu, Pengerusi National Residential Rental Organisation, Prakash P. Kalivanan, menyifatkan pembangunan kondominium berlebihan sebagai tidak seimbang dan tidak diselaraskan dengan keperluan sebenar.
Beliau berpendapat bahawa pihak seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PBT lain perlu lebih proaktif dalam merancang pembangunan mampan bagi memastikan kualiti hidup penduduk Lembah Klang tidak terus merosot.