Inside Scoop menghentikan penjualan ais krim ubat batuk, mengikut arahan KKM
Syarikat aiskrim Inside Scoop menghentikan serta-merta penjualan aiskrim berperisa ubat batuk Pei Pa Koa susulan arahan Kementerian Kesihatan (KKM).
Inside Scoop menerusi satu kenyataan di Instagram berkata, pelanggan yang memesan aiskrim berkenaan secara dalam talian boleh meminta pemulangan semula wang.
Pihaknya turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan turut menghargai sokongan yang diberikan kepada mereka.
Semalam, KKM mengeluarkan notis larangan menjual ais krim berisi ubat batuk kerana ia berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran yang digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk.
Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 , ia tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.