Malaysia

Istilah perobohan tidak tepat, perbincangan pemindahan begitu harmoni – Jakel

​Pengurusan syarikat pembekal tekstil Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) menegaskan bahawa tiada perobohan akan dilakukan terhadap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, sebaliknya perbincangan selama lebih 10 tahun tertumpu kepada proses pemindahan secara harmoni.​

Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Dazuki, menjelaskan bahawa tanah tersebut dimiliki sepenuhnya oleh Jakel sejak 2012, hasil hasrat pengasas syarikat, Allahyarham Mohamed Jakel Bin Ahmad, untuk mewakafkan tanah tersebut bagi pembinaan masjid yang dapat menampung keperluan komuniti setempat.​

Beliau menekankan bahawa istilah ‘perobohan’ tidak tepat digunakan dalam konteks ini, kerana perbincangan yang diadakan sentiasa berkisar mengenai pemindahan kuil ke lokasi baharu yang berdekatan, dengan bantuan kerajaan, DBKL, dan agensi penguatkuasaan lain.​

Selain itu, Jakel telah menawarkan kos pemindahan kepada pihak kuil, dan jumlah pampasan akan diberikan, namun butirannya belum dapat diumumkan kepada umum.​

Mengenai majlis pecah tanah berkeluasan 12,000 kaki persegi yang dijadualkan pada 27 Mac ini, Jakel menjelaskan, ia bukan bermaksud pembinaan akan dimulakan serta-merta, sebaliknya sekadar simbolik komitmen syarikat terhadap projek tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Jakel, Datuk Syed Nasrul Fahmi Syed Muhamad, menyatakan bahawa DBKL telah mencadangkan beberapa lokasi untuk pemindahan kuil, namun kata sepakat belum dicapai.​

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, memberi jaminan bahawa kuil tersebut tidak akan dirobohkan, sebaliknya hanya dipindahkan dengan persetujuan semua pihak, dan boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker